Tuesday, April 10, 2012

Terima Kasih Ya Allah untuk semua pinjaman ini

“ Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Pentadbir seluruh Alam. Ya Allah! Berikanlah kesejahteraan dan keselamatan ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya.

Aku sujud mengadap kiblat-Mu dengan rasa rendah diri Ya Allah, ampunilah dosaku dan suamiku, dosa kedua ibubapa dan ibubapa mertuaku, dosa adik beradikku, dosa guru-guruku, dosa jiran-jiranku, dosa rakan-rakanku dan dosa seluruh muslimin dan muslimat.

Alhamdulillah..pada hari lahirku ini, Kau mekarkan hidupku dengan bunga-bunga indah kehidupan. Kehidupanku, rumahtanggaku, kesihatanku,kerjayaku dan keluargaku begitu Kau jaga dengan rapi Ya Allah..terima kasih.. Segala kebaikan datang daripadaMu, Ya Allah.

Ya Allah Ya Rahman, bersyukur di atas pinjaman kesenangan dan limpah kurnia rezeki daripadaMu. Limpahan rezeki yang kau berikan tiada lain selain menguji diriku juga. Aku berharap agar segala doa yang kutitipkan kepadaMu, dimakbulkan dan diberkati.

Ya Allah Ya Rahim, sesungguhnya hambaMu ini bahagia dengan kehadiran seorang suami yang tanpa jemu mendidikku agar tidak melupakanMu. Sesungguhnya aku sayang padanya, tetapi aku lebih menyayangiMu Ya Allah.

Ya Allah , bagi membalas setiap tanggungjawab yang telah dilunaskan dengan baik oleh seorang suami padaku , aku ingin menjadi seorang isteri yang memudahkan jalannya ke syurgaMu. Jadikanlah aku isteri yang menundukkan pandangan mata dan mentaati suami. Lindungilah auratku dengan busana yang diizinkan suami.Ajarkan aku untuk rajin mengaji dan menjaga tutur kata. Jadikanlah aku seorang muslimah yang Kau cintai dan Rasulullah kasihi. Hanya satu aku mohon padamu wahai suami, redhakanlah pemergianku saat dijemput oleh Ilahi kerana aku hanya pinjaman buatmu.

Ya Allah Ya Qahhar, terima kasih untuk kau pinjamkan anak-anak yang sentiasa merindui kami. Meruntun hatiku saat anak kecil itu menangis teresak-esak memanggil ummi dalam panggilan semalam.Wahai anak, saat kamu mengerti erti kasih ummi nanti, tiada lain yang ummi pinta selain doakanlah kesejahteraan ibu dan ayahmu kerana kasih sayang kami tidak setanding kasih sayang mereka.

Ya Allah Ya Rabbi, lindungilah aku sepanjang kembara pencarian ilmu ini. Rendahkanlah hatiku sepanjang perjalanan kembara ini, kerana semakin banyak ilmuMu yang ku dapat, semakin banyak lagi yang perlu ku kejar.

Ya Allah Ya Ghaffar, aku bersyukur pada hari indah ini, Kau masih meminjamkan kasih sayang dari keluarga, saudara, pelajar dan sahabatku untuk sentiasa berada di sisi diriku. Sesungguhnya aku tidak mampu hidup bersendirian tanpa mereka. Bahagiakanlah kami. Jauhkanlah kami dari permusuhan dan berpecah belah.

Ya Allah Ya Wahhab, padaMu saja tempat aku panjatkan doa ini supaya Kau limpahkan kasih sayangMu buat ibuku, arwah ayahku dan kedua ibu bapa mertuaku.Terima kasih kerana Kau pinjamkan mereka untuk melahirkan dan membesarkanku dan suami, aku pohon supaya tiada balasan lain bagi mereka selain syurga FirdausiMu. Pinjamkan kami Ya Allah kudrat dan rezeki untuk memenuhi impian besar kami pada mereka.

Kau kabulkanlah doa hambamu ini yang kau pinjamkan nyawa sejak 28 tahun dahulu. Amin Ya Rabbal’alamin.”


 
Copyright (c) 2010 *beautiful moments*. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.